Spread your wings in the future economy

20190404 - Berita Harian 2.jpg

Berita Harian | Norhaiza Hashim | Thursday 4 April

TEBAR SAYAP DALAM EKONOMI MASA HADAPAN

Sumbangan besar dalam keusahatekwanan

SYARIKAT kecerdasan buatan (AI) milik Dr Ayesha Khanna, Addo AI, pernah dinobatkan sebagai salah sebuah empat firma AI terulung di Asia oleh majalah Forbes pada 2017.

Malah, warga Singapura itu sendiri dinamakan sebagai salah seorang usahawan wanita yang membawa perubahan besar dalam keusahatekwanan di Asia Tenggara oleh majalah sama pada tahun berikutnya.

Pengetahuan dan pencapaiannya itu menghakis tanggapan bahawa wanita tidak boleh berjaya dalam ekonomi masa hadapan yang masih banyak dipelopori oleh kaum Adam.

“Tentunya kita perlu mempunyai lebih ramai wanita dalam bidang AI dan sektor teknologi. Cara terbaik mempunyai lebih ramai wanita dalam bidang teknologi ini ialah dengan memberikan mereka pendidikan, galakan dan contoh.

“Wanita berupaya menghuraikan cabaran dalam kerjaya mahu pun perniagaan menggunakan teknologi dan data. Semakin banyak mereka didedahkan dengan kemahiran AI, saya percaya semakin banyak kisah kejayaan yang akan kita baca mengenai kaum hawa kelak,’’ ujar Dr Ayesha, dalam temu ramah baru-baru ini.

  Anak kelahiran Lahore, Pakistan, itu menjadi warga Singapura pada 2015 kerana yakin negara ini sesuai dalam menyediakan sekitaran yang selamat dan pendidikan yang baik bagi dua orang anaknya.

  Semakin lama beliau di sini, beliau mendapati sekitaran Singapura amat sesuai bagi menggalak usahatekwan sepertinya, apatah lagi dengan semakin banyak firma teknologi baru yang tumbuh rancak di sini.

Beliau mengasaskan Addo AI bagi membantu pertubuhan menggunakan AI dalam produk dan khidmat mereka. Pasukannya yang meliputi arkitek data, jurutera data dan saintis AI membangunkan wadah data bagi syarikat mengautomasikan proses, mengurangkan kos dan membaiki pengalaman pelanggan.

Pengalaman dan pengetahuan Dr Ayesha dimanfaatkan apabila beliau menjadi penasihat strategik bagi AI, bandar bijak dan teknologi kewangan (fintech) bagi beberapa syarikat seperti SMRT; Singtel; insurans terbesar Jepun, Sompro; bank terbesar Pakistan, Habib Bank; dan Smart Dubai, agensi pemerintah yang bertanggungjawab dalam merombak Dubai menjadi bandar bijak.

Dr Ayesha juga merupakan salah seorang anggota Lembaga Pengarah Penguasa Pembangunan Infokom Singapura (IMDA), yang membantu mencarta pertumbuhan industri media infokom Singapura.

  Selepas lulus dari Universiti Harvard dengan sarjana muda dalam bidang ekonomi (kepujian), beliau bekerja di Wall Street sebagai seorang jurutera sofwe yang turut mencetuskan minatnya dalam bidang teknologi.

  “Setelah saya berpindah ke Asia, saya melihat peluang besar menggunakan AI dalam sektor runcit, pengangkutan, telekom dan sektor lain. Kemajuan terbesar bagi saya ialah bekerja sama dengan beberapa pakar AI di Asia bagi membentuk firma mereka,’’ ujar Dr Ayesha, yang memperolehi ijazah Doktor Falsafah (Phd) dalam bidang Sistem Maklumat dan Inovasi dari Sekolah Ekonomi London.

Demi menggalak lebih ramai kaum Hawa menceburi bidang teknologi, Dr Ayesha terdorong mengasaskan 21C Girls (21st Century Girls) lima tahun lalu bagi mengajar ilmu asas koding.

  Sejak dibentuk, ia telah mengajar lebih 5,000 kanak-kanak dan pelajar dalam bidang robotik dan koding dengan sokongan syarikat seperti Google dan Visa.

  Program Code in the Community, yang merupakan kerjasama Google, firma Saturday Kids, dan empat badan bantu diri, Mendaki, CDAC, Sinda dan Persatuan Serani, pula telah mengajar ribuan kanak-kanak dan pelajar dalam bidang koding di Singapura.

  “Kami juga telah memulakan program baru, Empower With AI, yang mengajar pelajar perempuan mengenai asas AI. Kami telah memulakan kelas perintis di Politeknik Ngee Ann,’’ tambahnya. Kanak-kanak boleh didedahkan untuk mengenali teknologi hadapan dengan memupuk minda mereka dengan pemikiran “computational’ atau cara mesin menjalankan tugas dan bagaimana data yang banyak digunakan bagi memahami apa yang berlaku di dunia, kata Dr Ayesha.

  “Ia amat penting bagi kanak-kanak didedahkan kepada koding seperti mereka belajar membaca, menulis dan matematik. Mereka yang sudah mempelajarinya tidak akan rasa takut dan lebih yakin dalam kerjaya mereka dalam apa jua industri yang berubah di masa hadapan,’’ tambah beliau.

Click here for article.